bravery

164 Terima Darjah Kepahlawan Dan Pingat Keberanian
April 04, 2006 17:49 PM


PINGAT KEBERANIAN… Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan menganugerahkan pingat Keberanian Polis kepada Sjn Amran Abdul Aziz dari Unit Tindakan Cepat Polis Kuala Lumpur pada Istiadat Penganugerahan Darjah Kepahlawanan dan Pingat Keberanian Polis di Istana Negara, Kuala Lumpur. Foto: Rosli Awang

KUALA LUMPUR, 4 April (Bernama) -- Yang di- Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail berkenan menyampaikan darjah kepahlawanan dan pingat keberanian kepada 164 pegawai dan anggota polis di Balairong Seri, Istana Negara di sini.

Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid turut berangkat pada majlis itu yang diadakan sempena sambutan Hari Polis ke-199.

Anggota Unit Tindakan Cepat (UTC) Polis Kuala Lumpur Sarjan Amran Abdul Aziz, 39, merupakan satu-satunya anggota yang menerima Pingat Keberanian Polis pada majlis itu.

Anugerah itu diberikan kerana keberaniannya mempertaruhkan nyawa menumpaskan lima penjenayah yang merompak sebuah kedai emas di pusat membeli-belah di Sri Petaling di sini dua tahun lepas walaupun terkena tembakan pada muka.

Hadir sama pada majlis itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Ketua Polis Negara Tan Sri Mohd Bakri Omar dan timbalannya Datuk Seri Musa Hassan.

Majlis itu bermula dengan penganugerahan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis (PSPP) kepada 26 pegawai yang didahului Pengarah Logistik Bukit Aman Datuk Saharudin Samsudin.

Pegawai lain yang turut menerima pingat itu ialah Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Talib Jamal, Ketua Polis Pahang Datuk Ramli Yusuff, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mustafa Abdullah dan Timbalan Pengarah II Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Ramli Sha`ari.

Timbalan Pengarah I Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Mokhtar Hassan, Timbalan Pengarah III Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Haron Md Idris, Timbalan Pengarah II Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Bukit Aman Datuk Mohd Ali Mohd Yusof dan Timbalan Ketua Polis Terengganu Datuk Kamaruddin Mat Desa adalah antara mereka yang turut menerima pingat tersebut.

Seramai 25 pegawai lain menerima Darjah Pahlawan Pasukan Polis (PPP), 13 pegawai menerima Darjah Kesatria Pasukan Polis (KPP) dan 99 pegawai pangkat rendah dan anggota polis menerima Darjah Bentara Pasukan Polis (BPP).

Amran yang ditemui selepas majlis itu, berkata beliau tidak tahu dari mana timbul keberanian semasa kejadian pada 13 Ogos, 2004.

"Misi utama saya bersama rakan setugas ialah menumpaskan penjenayah terbabit. Biarpun salah satu peluru yang ditembak oleh penjenayah mengenai muka saya, namun kecederaan itu tidak menghalang saya untuk membantu mereka menumpaskan penjenayah berkenaan," kata anggota polis dari Kelantan itu yang menyertai pasukan polis sebagai konstabel pada 1988.

Amran berkata semasa kejadian kira-kira 11 pagi itu, beliau bersama seorang rakan setugas membuat rondaan mencegah jenayah menggunakan motosikal di kawasan Sri Petaling dan telah dimaklumkan mengenai rompakan itu.

Dengan menggunakan motosikal, kedua-dua anggota itu cuba menghalang perompak yang berkereta melarikan diri, namun ditembak penjenayah terbabit.

"Kami membalas tembakan itu dan ketika berbalas tembak, saya tidak menyedari salah satu peluru yang dilepaskan penjenayah mengenai muka saya," katanya.

Amran berkata selepas kelima-lima penjenayah itu ditembak mati, barulah beliau menyedari kecederaan yang dialaminya.

Beliau terpaksa menjalani dua pembedahan akibat kecederaan itu.

-- BERNAMA


He IS awesome ! this is why we should respect the COPS !

Comments

Popular Posts